Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak meletakkan petujuk yang khusus tentang cara dan pola syura. Ini kerana jika baginda sendiri yang meletakkan hukumnya, ini bertentangan dengan prinsip syura yang diperintahkan oleh al-Quran.
Bukankah al-Quran memerintahkan agar persoalan umat dibicarakan dan diselesaikan secara bersama? Dan bukankah Rasululah s.a.w telah memberi kebebasan kepada umat Islam agar mengatur sendiri urusan dunianya. Ini ditegaskan oleh Nabi s.a.w dalam sabda baginda yang bermaksud: “Kamu lebih mengetahui persoalan dunia kamu.”
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Yang berkaitan dengan urusan agama kamu, maka kepadaku (rujukannya), dan yang berkaitan dengan urusan dunia kamu, maka kamu lebih mengetahuinya.”
Justeru jika kita lihat catatan sejarah, perlantikan empat khalifah sendiri adalah berbeza-beza antara satu sama lain. Maknanya, yang penting dalam setiap urusan itu hendaklah berpandukan syura. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya bermaksud: “Urusan mereka (umat Islam), diputuskan menurut syura sesama mereka.” (al-Syura: 38)
Demikianlah sejarah Islam mengukir proses pemilihan Khalifah Ar-Rasyidin bermula dengan pelantikan Abu Bakar sebagai khalifah pertama atas kempen atau baiah Umar yang kemudian diikuti dengan sokongan majoriti umat Islam. Setelah kepimpinan Abu Bakar, Umar pula dilantik sebagai khalifah setelah ditunjuk oleh Abu Bakar sendiri serta sokongan umat Islam.
Begitu juga sikap Abu Bakar mengajak bermusyawarah dengan pemimpin-pemimpin sahabat ketika mencalonkan Umar menjadi ketua negara. Setelah diketahui bahawa mereka menyetujuinya, maka ditetapkan calonnya, sehingga tidak ada jalan bagi perpecahan dan perselisihan umat.
Tentang prinsip harus tunduk kepada suara terbanyak, sebagai mana yang berlaku semasa Perang Uhud, yang mana Rasulullah s.a.w dan beberapa sahabat bersetuju untuk bertahan di kota Madinah dan tidak keluar menghadapi musuh yang datang dari Mekah, tetapi suara majoriti nampaknya ingin keluar menentang musuh di Bukit Uhud. Namun akhirnya Baginda s.a.w menerima keputusan dan pendapat yang dikemukan dari pihak pemuda (pihak majoriti) tetapi akhirnya ia berkesudahan dengan kegagalan dan ramai yang terkorban.
Pada hakikatnya, sebelum berlaku peristiwa tersebut, Rasulullah s.a.w telah melihat tanda-tanda (dalam mimpi baginda) bahawa peperangan tersebut akan menemui kegagalan dan ramai sahabat termasuk bapa saudara baginda, Saidina Hamzah, akan terkorban tetapi memandangkan pandangan tersebut (keluar ke Uhud) mendapat sokongan majoriti, maka Nabi s.a.w terpaksa menyetujuinya. Kesalahan majoriti lebih dapat ditoleransikan dan menjadi tanggungjawab bersama, dibandingkan dengan kesalahan seseorang meskipun diakui kejituan pendapatnya sekalipun.
Terdapat satu ungkapan dalam kesusasteraan sufi yang bermaksud: “Takkan kecewa orang yang memohon petunjuk (kepada Allah) tentang pilihan yang terbaik dan tidak juga akan menyesal seseorang yang melakukan musyawarah.”
Panduannya secara umum pernah digambarkan pula oleh Saidina Umar al-Khattab dalam ucapan beliau yang terakhir, dalam saat-saat hampir meninggal dunia, mengenai calon-calon Khalifah yang akan menggantikannya. Kepada enam orang ulil-amri yang ditugaskan bermusyawarah tentang persoalan penting itu, Khalifah Umar berkata:
“Jika lima orang daripada tuan-tuan sudah setuju tentang satu pendirian dan hanya tinggal seorang yang menyimpang, maka pukullah kepalanya dengan pedang (dan berpeganglah dengan pendirian lima orang itu). Jika empat suara yang setuju dan ada dua suara yang menyimpang, maka ketuklah kepala dua orang itu (dan putuskanlah dengan suara empat orang). Tetapi jika hanya tiga suara yang setuju sedangkan tiga suara lagi menentang (bererti suara sama berat), maka mintalah seorang perantara, iaitu Abdullah Umar. Ikutilah nasihatnya, mana yang akan dimenangkan di antara dua pendirian itu. Kalau tuan-tuan belum puas dengan nasihat Abdullah sebagai perantara, maka serahkan pada pertimbangan Abdul Rahman Auf (Ketua Ulil-Amri), dan lawanlah semua orang yang tidak mahu menjunjung keputusan bersama atas dasar pertimbangan ketua itu.”
Ini cara yang bersih dan yang sempurna serta tidak memberi kesempatan berlakunya perselisihan atau membangkitkan fitnah. Umar tidak suka meninggalkan sesuatu kaedah yang tidak ada batasnya dalam situasi yang mencemaskan.
Sesungguhnya beliau bersikap takwa dan tegas. Beliau telah meletakkan kepada mereka program yang sempurna yang membawa ketentuan-ketentuan jika terjadi perselisihan dengan berpedomankan kepada Manhaj Ilahi.
Tertib memilih pemimpin secara musyawarah akan menemui jalan keluar yang diharapkan dan akan mengukuhkan kekuatan serta menghindarkan daripada berlakunya perselisihan pendapat. Perselisihan sesungguhnya akan melemahkan umat Islam sendiri dan ada kemungkinan kelemahan itu dimanfaatkan oleh pihak lain.
Kebaikan serta keutuhan sesebuah negara serta pemerintahannya tidak sekadar dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin tertinggi saja, tetapi harus sama-sama dipikul oleh semua pihak. Keberhasilan serta kejayaan umat itu merupakan hasil daripada perpaduan dan kekuatan; yang memimpin dan yang dipimpin.
Negara Islam adalah negara musyawarah, negara kedaulatan rakyat. Kedaulatan tertinggi bukan terletak pada perintah seseorang tetapi kedaulatan itu tersimpul dalam permusyawarahan.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka(mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu),dan pohonkanlah ampun bagi mereka,dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyurat, untuk menbuat sesuatu), maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadanya.” (ali-Imran: 159)
Persoalan musyawarah bukan sekadar hal-hal yang berkaitan dengan urusan masyarakat dan negara, malah ia dapat dilakukan untuk segala masalah yang belum terdapat petunjuk agama secara jelas dan pasti, sekali gus yang berkaitan dengan kehidupan duniawi.
Syariat amat menitikberatkan maslahat hamba daripada yang lain, apabila berlaku pertembungan. Dari sinilah timbulnya kaedah yang berbunyi: “Kelulusan sebarang keputusan pemimpin itu berkait rapat dengan maslahat.” Juga kaedah yang berbunyi: “Menolak kerosakan itu, didahulukan dari mendapatkan maslahat (kebaikan dan keuntungan, sedangkan maslahat umum (masyarakat) hendaklah diutamakan daripada maslahat yang khusus (peribadi dan lain-lainnya).” Manakala maslahat yang dharuri (berbentuk keperluan) itu kedudukannya lebih tinggi (diutamakan), kemudian barulah maslahat yang berbentuk hajiyyat (keperluan yang tidak mendesak), kemudian barulah maslahat yang berbentuk tahsiniyyat (kesempurnaan).
Ini juga dapat difahami daripada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak harus ada (bahaya yang boleh) menyakiti diri sendiri dan menyakitkan orang lain.”
Tegasnya, dalam memilih pemimpin, menghormati ‘keputusan bersama’ adalah elemen yang paling penting demi kesatuan ummah. Jika sesama pemimpin sendiri saling ‘bertentangan’, apa yang dapat kita harapkan daripada masyarakat. Bersatu?
Diambil daripada
0 comments:
Post a Comment